Pelayanan Bahasa Malaysia Di Gereja Canning Garden Methodist, Ipoh. Pelayanan Bahasa Malaysia Di Gereja Canning Garden Methodist, Ipoh adalah untuk orang-orang yang ingin beribadah kepada Tuhan dalam Bahasa Malaysia, mereka adalah dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia (Orang Asli, Cina dan India) dan orang-orang Indonesia yang bekerja di Ipoh. Pelayanan ini dimulakan pada awal tahun 1991 oleh Rev. Andrew Tan, Rev. Raymond Wong, Rev.Ashok Amarasingam, Encik Ronnie Teoh, Encik William Balasingam, Datin Ann Muttiah dan Cik Lee Yen Ling. Mereka berkhutbah, memimpin pujian, konserling, mengambil dan menghantar jemaat tiap minggu dengan kenderaan mereka. Saya diambil sebagai pekerja sepenuh masa pelayanan ini pada hujung tahun 1993. Jemaat-jemaat dari Sabah, Sarawak, Orang Asli adalah terdiri dari Pasukan Polis, Tentera, Pegawai Kerajaan dan penuntut-penuntut Politeknik dan Maktab Perguruan. Jemaat-jemaat dari Indonesia pula terdiri dari pembantu-pembantu rumah. Jemaat-jemaat ini tertakluk kepada tugas mereka di Ipoh, biasanya setelah dua hingga tiga tahun mereka berpindah ke tempat yang lain dan kumpulan jemaat-jemaat demikian yang baru yang datang menganti tempat mereka. Walaupun demikian, Tuhan sering mengutus jemaat-jemaat yang baru yang boleh gantikan tempat kosong dalam pelayanan firman Tuhan, muzik dan memimpin pujian yang telah berpindah. Hati kami yang melayani, berat juga untuk melepaskan mereka untuk berpindah,tetapi syukur kepada Tuhan kerana masih ada jemaat-jemaat yang bermastautin tetap di Ipoh dan mereka yang telah berpindah juga melayani ditempat mereka pergi. Kebaktian Bahasa Malaysia masakini bermula pada jam10.15 pagi dan berlangsung selama satu jam 15 minit setiap Ahad, adalah terbuka kepada semua golongan manusia. Kebanyakan lagu-lagu pujian dan penyembahan adalah dari Indonesia, bahkan Alkitab yang kami gunakan. Pengunaan Alkitab Indonesia kerana kebiasaan dan bahan-bahan rujukan rohani yang lain kebanyakan dalam Bahasa Indonesia. Perjamuan Tuhan diadakan setiap bulan sekali. Kami juga ada bahan pelajaran pembaptisan dan keanggotaan dalam Bahasa Malaysia. Jemaat yang ingin dibaptis akan mengikuti tarikh pembaptisan gereja. Majikan-majikan digalakan supaya membenarkan pembantu-pembantu rumah mereka datang untuk beribadah kepada Tuhan. Jangan bimbang mereka bergaul dengan orang, biarlah mereka belajar dari Tuhan. Setakad ini dalam pengetahuan saya pembantu-pembantu rumah yang hadir beribadah tidak memberi sebarang masalah kepada majikan mereka. Panggilan Tuhan, kepada mereka yang merasa ada hati untuk membantu dalam pelayanan Bahasa Malaysia digereja disini, adalah dengan tangan terbuka kami mengalu-alu penglibatan kamu, jangan bimbang dengan kefasihan bahasa kamu, kerana dengan karunia Tuhan, kamu akan dapat melakukannya. Asal ada hati yang rendah dan hati seorang pelayan, kamu akan berjaya dan berhasil dalam melayani, walaupun dengan bahasa yang sedehana. Richard Leow
|